JURANG ICT ANTARA LUAR BANDAR DAN BANDAR


Pengenalan
Teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sering dikaitkan dengan era penggunaan digital dalam aktiviti manusia untuk memudahkan komunikasi ataupun menjalankan tugas masing-masing. ICT adalah singkatan daripada Information and Communication Technology (Teknologi Maklumat dan Komunikasi) yang bermaksud teknologi yang diperlukan untuk pemprosesan data yang berkaitan dengan segala aspek dalam pengurusan dan pemprosesan maklumat. Secara tepat dan mudah: penggunaan komputer dan perisian untuk mengubah, menyimpan, melindungi, memproses, memindah, melihat, dan mendapatkan maklumat tanpa mengira tempat dan waktu.
Penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran dapat meningkatkan kecekapan dan keberkesanan hasil pembelajaran. Guru dapat membuat persiapan dan bersedia dengan lebih awal dalam menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran dengan mencari maklumat-maklumat berkenaan dengan pengajaran dengan lebih baik seterusnya dapat menyampaikan kepada pelajar secara berkesan dan membuatkan proses pembelajaran lebih menarik apabila alat seperti powerpoint dan visual dalam proses pembelajaran. Dengan cara ini, murid tidak akan mudah berasa bosan.  Penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran amat penting kerana ia dapat meningkatkan kemahiran guru dan pelajar. Melalui penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran pelajar akan didedahkan dengan pelbagai alatan dan bahan mengenai ICT seperti komputer, LCD, CD, pendrive, hardware, software, internet dan sebagainya. Namun begitu, terdapat juga halangan halangan dalam penggunaan ICT. Terdapat sesetengah sekolah tidak mempunyai prasarana dan bahan sokongan teknologi yang mencukupi bagi membantu proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Kekangan waktu juga menjadi halangan untuk penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Jurang bandar dan luar bandar adalah merujuk kepada ketidaksamarataan yang berlaku. Jurang digital merupakan perbezaan daripada segi akses kepada kemudahan  Information dan Communication Techology (ICT). Jurang ICT ini biasanya wujud di lokasi yang memiliki keadaan geografi yang berbukit bukau serta di kawasan pedalaman seperti di Sabah dan Sarawak dan juga kawasan pedalaman lain. Hal ini demikian kerana perkhidmatan bagi mengakseskan internet adalah terhad. Selain itu, jurang digital ini menunjukkan kepada tahap pencapaian tenaga pengajar dalam bidang ICT. Kebiasaannya, tahap pencapaian tenaga pengajar adalah berbeza disebabkan pelbagai aspek antaranya kurang pengalaman dan pengetahuan dari segi penggunaan ICT, kurangnya kemudahan dan banyak lagi.


Kajian Literatur
Jurang ICT merupakan istilah yang diperkenal oleh bekas Presiden Amerika Syarikat, Bill Clinton pada tahun 1994 bagi menyata perbezaan di antara rakyat yang mempunyai perkhidmatan Internet yang paling pantas dan paling selesa daripada rakyat yang tidak mempunyai akses kepada teknologi tersebut. Lazimnya, ini dianggap sebagai fenomenon sosio-ekonomi yang meletak teknologi di luar capaian rakyat yang tidak mampu membeli komputer. Organisasi Pembangunan Kerjasama Ekonomi mendefinisi jurang digital sebagai jurang antara individu, isirumah, bisnes dan kawasan geografi dengan merujuk kepada peluang mengakses ICT dan mengguna Internet bagi berbagai aktiviti secara meluas.

Meskipun kadar perkembangan penembusan jalur lebar dalam negara adalah dramatik dalam tempoh yang singkat iaitu 2 tahun kebelakangan (dari 24.8% pada 2009 kepada 55.6% pada tahun 2011), penggunaan sebenar dan faedah yang diperoleh oleh komuniti luar bandar tidak diketahui. Ini menimbulkan persoalan tentang keberkesanan inisiatif ini bagi memenuhi hasrat merapat jurang digital di negara ini, kerana meskipun dari segi statistik, kadar penembusan jalur lebar meningkat secara mendadak dalam tempoh 2 tahun, tetapi tidak menggambar keadaan sebenar peningkatan penggunaan ICT oleh penduduk Malaysia yang sederhana.

Masalah jurang digital boleh menimbul keadaan yang buruk jika tidak ditangani dengan betul dan serius bermula pada peringkat sekolah. Justeru, kerajaan memperkenal satu pendekatan baharu yang dikenali sebagai Bidang Keberhasilan Utama Negara atau National Key Result Areas (NKRA) bagi memasti elemen kebertanggungjawaban wujud dalam kalangan anggota pentadbiran dan penjawat awam. Melalui pendekatan tersebut, rakyat dapat mengetahui dan mengikuti inisiatif, perancangan dan hala tuju pembangunan negara sekali gus memantau dan menilai pencapaian sasaran seperti yang ditetapkan. Sebanyak enam NKRA dikenal pasti dengan setiap satunya mempunyai petunjuk pencapaian utama. Petunjuk pencapaian utama membantu memperkemas prosedur, mengoptimum sumber dan tenaga bagi mencapai sasaran mengikut tempoh yang ditetapkan. Bidang NKRA yang diberi tumpuan ialah mengurangi kadar jenayah, memerangi rasuah, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan, meningkat taraf hidup rakyat yang berpendapatan rendah, memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman dan menambah baik pengangkutan awam dalam jangka masa sederhana.

Casey dan Bruce (2010) mentakrif literasi ICT sebagai keupayaan memahami dan mengguna maklumat dalam berbagai format dari berbagai sumber dengan mengguna komputer. Literasi ICT yang merujuk kepada keupayaan mengguna ICT dan internet, juga dikenali sebagai Literasi Digital. Literasi Digital menjadi prasyarat bagi kreativiti, inovasi dan keusahawanan. Malah tanpanya, rakyat tidak boleh mengambil bahagian sepenuhnya dalam masyarakat mahupun memperoleh kemahiran dan pengetahuan yang diperlu untuk hidup dalam abad ke-21. Tambahan pula, dalam mengharungi arus globalisasi, zaman digital disifat sebagai penting.

Penggunaan ICT  di sekolah mengubah kaedah pengajaran dan pembelajaran (Kaffash et al., 2010). Secara umumnya, kanak-kanak belajar dengan cepat bagaimana mengguna kemudahan dan membangun kemahiran ICT. Melalui pemilikan komputer di rumah, pencapaian pendidikan kanak-kanak meningkat dengan mendadak. Malangnya, segelintir pelajar seolah-olah ketinggalan dalam literasi TMK, hanya kerana tidak mempunyai akses yang kerap kepada komputer lantaran tidak memiliki sendiri komputer di rumah, infrastruktur asas yang terhad seperti ketiadaan kemudahan elektrik atau kekurangan talian telefon. ICT adalah alat yang diguna bagi mentransformasi dan mengintegrasi pelajar ke dalam sistem sekolah, dan menyedia mereka memasuki era maklumat.

Kerajaan Malaysia melakukan berbagai usaha serta berjaya mempromosi ICT. Sebagai contoh, sasaran 50% penembusan jalur lebar isi rumah di seluruh Malaysia, menjelang tahun 2010, berjaya dicapai (Yatim, 2010). Bagaimanapun, bagi kawasan luar bandar, masih banyak lagi usaha perlu dilakukan bagi merapat jurang digital. Salah satu sebab yang memerlu banyak lagi usaha ialah ketaksamaan penembusan ICT antara kawasan bandar dan kawasan sub-bandar (Salman, 2011). Perkembangan pesat teknologi, iaitu TMK itu sendiri, membawa kepada jurang yang semakin luas dalam perbezaan ini. Isu lain yang  boleh dikait dengan masalah ini sama ada secara langsung atau sebaliknya ialah perbezaan status ekonomi dan pendidikan serta dasar yang berkaitan bagi merapat jurang digital. Satu kaedah merapat jurang digital di antara kawasan bandar dan luar bandar ialah penyediaan kemahiran ICT.

Dalam memantapkan penggunaan ICT, kemahiran dalam menggunakan komputer sangat penting. Dengan perkembangan zaman ICT yang semakin pesat, teknologi sentiasa diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Jurang digital yang wujud juga disebabkan oleh kurang mahir  iaitu tidak mengetahui bagaimana untuk mengakses maklumat. Selain pelajar, terdapat juga guru yang masih tidak tahu menggunakan komputer dan mengakses maklmuat melalui internet. Berdasarkan pengalaman, guru-guru ini kebanyakannya guru-guru yang sudah berpengalaman dalam mengajar tetapi kurang mahir dalam penggunaan teknologi masa kini. Jika guru itu sendiri yang kurang mahir, bagaimana untuk mengajar dan membimbing pelajar dalam menggunakan dan mengakses maklumat melalui ICT. Kurangnya kemahiran dalam menggunakan komputer dan teknologi ICT ini menyumbang kepada faktor berlakunya jurang digital dan ICT.

Faktor geografi bermaksud faktor kawasan tempat tinggal yang mempengaruhi kemudahan internet. Kawasan luar Bandar seperti pedalaman dan kawasan kampong kebanyakannya tiada liputan internet. Ini menyebabkan pelajar dari kawasan ini agak sukar untuk akses kepada internet. Internet walaupun tidak mempengaruhi sesi pembelajaran, namun penggunaan internet sangat penting untuk pembelajaran kendiri pelajar. Contohnya untuk mencari maklumat kerja kursus, maklumat tambahan, latihan dan sebagainya. Ketiadaan akses kepada internet ini menyebabkan pelajar kurang terdedah dengan aplikasi ICT.

Kekurangan guru profesional  telah menyebabkan jurang digital yang sangat ketara antara sekolah kawasan luar bandar dan sekolah di kawasan bandar. Hal ini disebabkan kebanyakan guru profesional tidak sudi ditempatkan di kawasan luar bandar. Hal ini mengakibatkan kekurangan guru mahir ICT di kawasan luar Bandar dan akan  mangakibatkan masalah buta ICT dalam kalangan pelajar luar bandar.  
      
 Selain itu juga, masalah kekurangan guru profesional juga adalah disebabkan oleh insfrastruktur ICT yang kurang lengkap terutamanya di kawasan luar bandar. Kekurangan bahan ICT menjadikan guru kurang mahir dalam penggunaan ICT  dan tidak dapat mempraktikkannya di dalam kelas. Persoalannya, bagaimana guru-guru serta pelajar ingin mengaplikasikan penggunaan    ICT jika bahan tersebut tidak mencukupi. Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Ahamad berkata dapatan kajian mengenai pembudayaan ICT dalam kalangan pengguna memerlukan pengurusan perubahan yang sistematik dan terarah. Tambahan pula, kita tidak dapat membudayakan ICT jika kemudahan serta bahan pengajaran dan pembelajaran tidak lengkap.

 Kekurangan tenaga pengajar profesional ini turut disebabkan oleh masalah kurangnya        perhatian pihak kerajaan dari sektor pendidikan dalam memberikan galakan serta latihan kepada guru dalam penggunaan ICT. Pihak yang terbabit kurang menjalankan bengkel kemahiran kepada para pendidik. Kekurangan latihan menjadi punca dalam melahirkan guru-guru yang cemerlang dalam penggunaan ICT. Jika bengkel ini dijalankan, mereka lebih memberikan tumpuan terhadap guru-guru di kawasan bandar berbanding luar bandar. Akhirnya guru-guru di kawasan bandar semakin mahir manakala guru-guru dikawasan luar bandar semakin ketinggalan dan mundur dari segi penggunaan ICT mahupun teknologi ini. Akhirnya hal ini telah mewujudkan jurang digital yang ketara antara kawasan luar bandar dan kawasan Bandar.


Cadangan
Pelbagai inisiatif telah diambil untuk merapatkan jurang digital di negara kita. Pelbagai pihak terutamanya pihak kerajaan telah mengambil beberapa langkah untuk mengatasi masalah ini yang berperanan untuk memperkasa komuniti dan menjana ilmu dalam melalui usaha menyeberangi jurang teknologi dan jurang minda.
            Antara langkah yang diambil oleh pihak kerajaan dalam usaha merapatkan jurang digital antara Bandar dan luar Bandar terutamanya ialah mempertingkatkan kemudahan prasarana telekomunikasi di luar bandar itu sendiri dengan memperkenalkan program tanggungjawab perkhidmatan global. Melalui program tersebut, kerajaan dan pihak swasta bertanggungjawab untuk menyumbang kepada pembangunan prasarana di luar bandar yang didapati kurang menguntungkan untuk pelaburan dari firma telekomunikasi semata-mata.
            Sebagai langkah untuk mendekatkan golongan pelajar dengan ICT, pihak kerajaan melalui Majlis Teknologi Maklumat Kebangsaan (NITC) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan juga sebelum ini telah memperkenalkan program Unit Internet Bergerak yang melengkapkan bas-bas dengan kemudahan komputer demi mendekatkan masyarakat terutama pelajar dengan ICT. Dalam program ini, sekolah-sekolah yang terpilih yang dilihat masih ketinggalan dalam bidang ICT akan dikunjungi sekali dalam dua minggu untuk melatih para pelajar dalam komputer dan Internet.
 Selain pihak kerajaan, pihak kementerian dan pihak sekolah di negara ini perlu memainkan peranan yang konstruktif bagi menangani jurang ICT dan digital yang berlaku terutama melibatkan sekolah di luar bandar dan di kalangan kaum. Pihak sekolah dan profesion keguruan perlu memberikan perhatian serius bagi merapatkan jurang perbezaan ICT dan digital dengan meningkatkan program pendidikan ICT dan memperluaskan peluang menguasai pengetahuan dan kemahiran digital, khususnya di kalangan pelajar miskin dan luar Bandar.
Pihak sekolah juga perlu memberi sokongan dan dorongan kepada guru dalam menggunakan ICT semasa pengajaran dan pembelajaran. Guru akan jadi lebih bersemangat jika pihak sekolah memberi sokongan yang sepenuhnya seperti menyediakan kemudahan ICT dan menyediakan latihan bagi yang tidak mahir dalam penggunaan ICT. 
Para pendidik seharusnya memberikan perhatian yang serius   terhadap perkembangan teknologi di sekolah bagi mempergiatkan penggunaan teknologi dan ICT di sekolah. Latihan kepada guru dalam penggunaan ICT perlu ditingkatkan terutamanya di kawasan luar Bandar. Pihak yang terbabit perlu menjalankan bengkel kemahiran kepada para pendidik. Kekurangan latihan menjadi punca dalam melahirkan guru-guru yang cemerlang dalam penggunaan ICT. Jika bengkel ini dijalankan, mereka lebih memberikan tumpuan terhadap guru-guru di kawasan luar Bandar dan jurang ICT mungkin tidak akan berlaku di antara Bandar dan luar Bandar.

Comments